Tuesday, 8 May 2012

Pemandu dan kelindan tersepit dua jam

Seorang pemandu lori treler dan kelindannya yang membawa muatan sarat buah kelapa dan baja terpaksa menahan azab tersepit di bawah kenderaan mereka kira-kira dua jam sebelum diselamatkan dalam kemalangan pagi tadi.
Kemalangan berlaku di Km76 Jalan Kuala Terengganu-Jerteh dekat Kampung Air Sejuk, di sini ketika pemandu berkenaan Nurame Abdul Rahman, 35, dalam perjalanan dari Batu Pahat, Johor menuju ke Rantau Panjang, Kelantan untuk menghantar bekalan kelapa dan baja.
Lori treler itu dipercayai terbabas setelah satu daripada tayar depan sebelah kanannya pecah menyebabkan ia terbabas dan terbalik.
Nurame bersama kelindan yang belum dapat disahkan identitinya bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Daerah Setiu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Penolong Penguasa Mohd Khairul Anuar Ahmad yang ditemui di tempat kejadian berkata pemandu lori tersebut dipercayai gagal mengawal kenderaannya setelah salah satu daripada tayarnya pecah.
"Ia melanggar sebatang tiang eletrik berhampiran sebuah kilang batu-bata sebelum terbalik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Alonso pertahan Massa


Pemandu Ferrari, Fernando Alonso mempertahankan rakan sepasukannya, Felipe Massa yang dikritik hebat sejak akhir-akhir ini.
Selepas gagal menaiki podium dalam perlumbaan Formula Satu (F1) musim lalu, Massa sekali lagi dibelenggu prestasi hambar ketika memulakan kempen musim 2012.
Ketika jentera Ferrari, F2012 dilihat masih gagal mencapai tahap sebenar, Massa pula terus bergelut untuk menampilkan prestasi terbaik apabila hanya mampu mengutip dua mata pada perlumbaan GP Bahrain bulan lalu.
Situasi itu menyebabkan para pengkritik mendesak Ferrari supaya menamatkan kontrak Massa pada akhir musim ini.
Bagaimanapun Alonso menegaskan, kritikan ke atas Massa adalah sesuatu yang tidak adil.

Sepanyol mahu sapu bersih


GERGASI Eropah, Sepanyol pastinya memiliki misi 'serampang dua mata' menjelang Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2012 yang akan membuka tirainya di Ukraine dan Poland bulan depan.
Selain mahu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka di Austria dan Switzerland empat tahun lepas, skuad yang terkenal dengan jolokan La Roja itu juga mahu berterusan menakluk pentas bola sepak dunia.
Apa tidaknya, selain kejayaan menjulang trofi Euro 2008, Sepanyol juga membuktikan kredibiliti mereka sebagai kuasa besar bola sepak setelah menjulang Piala Dunia di Afrika Selatan dua tahun selepas itu.
Disebabkan itu, anak-anak buah Vincente del Bosque pastinya berazam melakar sesuatu yang istimewa pada Euro kali ini.
Untuk rekod, Sepanyol sebelum ini terpaksa menunggu selama 44 tahun sebelum muncul juara Euro 2008.